CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday, March 14, 2012

ujian itu Tarbiyah dari Allah

Assalamualaikum buat sume yg sudi membaca blog ini..

Sejak akhir2 ini berbagai ujian yg aku hadapi..smoge Allah menguatkan hatiku untuk menerimanya.. Aku yakin dengan setiap ketentuan Allah dan semuanya sudah tersurat malah terkandung seribu satu kebaikan..
mungkin aku ingin kongsikan pengisian dari sebuah blog.. membacanya membuatkn diriku bersyukur dgn setiap ujian yg aku hadapi walaupun kdg kala ianya terasa pahit.. Marilah kite sama2 berkongsi..

“Aduh, beratnya musibah ini!”
“Sampai bila aku harus diuji begini?”
“Kenapa aku diuji?”

Ayat di atas merupakan sebahagian daripada dialog yang sering kita pertuturkan apabila ditimpa ujian yang terasa berat untuk dipikul. Lumrah manusia, sering berkeluh-kesah apabila ditimpa musibah dan dugaan sehingga terkadang kita terlupa bahawa musibah yang datang itu adalah ketentuan Allah. Musibah itu adalah sebahagian daripada takdir atau qadha’ dan qadar yang ditetapkan Allah untuk kita. Sebagai seorang Muslim, kita wajib untuk beriman dengan qadha’ dan qadar ini.

Apabila keadaan kembali tenang, kita akan kembali beristighfar dan mengingati Allah. Bersyukur kerana diberi musibah sebegitu, atau mengambil hikmah pelajaran daripada ujian yang diturunkan itu. Tetapi bagaimana pula jika musibah yang terjadi itu disebabkan oleh orang lain?

Sebagai contoh, kehilangan seseorang yang amat kita sayangi akibat dibunuh atau kemalangan jalan raya disebabkan kecuaian pemandu lain. Atau mungkin sahaja kita kehilangan harta benda akibat dirompak ataupun duit yang dipinjam orang ataupun ditipu orang. Bagaimana cara kita menghadapi musibah seperti ini?

Mungkin ada yang sepanjang hayatnya terus-terusan menyalahkan orang yang mengakibatkan terjadinya musibah itu. Kita juga tidak dapat memaafkan kesalahan mereka kerana mereka membuatkan hidup kita merana.

Sebenarnya setiap yang berlaku itu merupakan ketentuan dari Allah dan orang yang mengakibatkan berlakunya sesuatu itu adalah ‘perantara’ atau ‘penyebab’ kepada terjadinya perkara itu. Jika kita duduk bertenang dan berfikir semula, kita pasti akan menemui jawapan kepada setiap musibah yang menimpa.

Mengambil contoh di atas, apabila kehilangan orang yang tersayang, kita harus memikirkan bahawa kematian itu adalah sesuatu yang pasti dan ajal itu sudahpun ditetapkan. Orang yang membunuh samaada sengaja ataupun tidak itu hanyalah penyebab kepada kematian yang terjadi. Begitu juga halnya dengan kehilangan harta benda yang terjadi akibat dirompak ataupun ditipu. Rezeki itu sudah ditakdirkan bukan milik kita dan Allah telah mengambilnya melalui perompak ataupun penipu itu.

Menyalahkan penyebab kepada sesuatu perkara itu mungkin sama seperti kita menyalahkan Allah yang telah mentakdirkan berlakunya perkara itu. Bererti kita tidak redha dan sabar menghadapi musibah yang Allah berikan kepada kita. Apa yang paling membimbangkan adalah jika kita tidak percaya bahawa apa yang terjadi itu merupakan qadha’ dan qadar dari Allah. Na’uzubillah, semoga Allah menjauhkan perasaan itu dari kita.

Ujian itu merupakan tarbiyyah daripada Allah. Allah menguji kita kerana sayangkan kita. Allah juga tidak menguji jika kita tidak mampu untuk menghadapinya seperti yang dinyatakan dalam al-quran :

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya.” – Al-Baqarah:286

Allah juga menguji kita untuk mengetahui sejauh manakah keimanan kita kepadaNya.

Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. – Al-Ankabuut:2-3

Redha, sabar dan tawakkal adalah asas bagi mukmin yang bertaqwa. Bersabarlah mengahadapi musibah yang diberikan, sentiasa redha kerana ia akan menambahkan rasa kehambaan dalam diri kita bahawa kita adalah manusia yang lemah dan tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Akhir sekali bertawakkallah kepada Allah untuk apa jua perkara dalam hidup kita supaya kita tidak akan mudah berputus asa dan mengeluh jika diberikan ujian. InsyaAllah.

"Cukuplah Allah bagiku; tidak ada Tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakal dan Dia adalah Tuhan yang memiliki Arasy yang agung". – At-Taubah:129

Semoga kita sentiasa beringat bahawa setiap musibah yang menimpa itu adalah peringatan dari Allah untuk kita. Musibah itu juga adalah ketentuan (qadha’ dan qadar) dari Allah dan kita wajib beriman kepadanya. Wallahu’alam.